sekoi berpontensi ganti beras, tepung gandum

BERITA HARIAN
ms 14 | Sabtu 14 September 2024
Kuala Lumpur – Tanaman sorghum atau dikenali sebagai sekoi yang semakin dilupakan di negara ini memiliki potensi untuk menjadi makanan pengganti atau alternatif kepada beras dan tepung gandum.
Ia dikatakan kaya dengan nutrien, rendah lemak, tinggi protein, serat, vitamin B dan mikronutrien, menjadikannya antara bijirin terpenting selepas beras, gandum, jagung serta soya.
Sekiranya tanaman sorghum yang dikatakan tiada kandungan gluten itu dapat dikomersialkan secara meluas dalam negara, ia bukan saja diyakini boleh menjadi alternatif bahkan sebagai pengganti kepada beras dan tepung gandum selaku makanan ruji sedia ada.
Ia sekali gus mampu memperkasakan lagi tahap sekuriti makanan negara tanpa perlu bergantung sepenuhnya terhadap import pertanian dari negara luar.
Bagi penghidap penyakit diabetes, sorghum juga dikatakan boleh menjadi makanan alternatif yang jauh lebih berkhasiat berbanding nasi.
Menerajui usaha itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Legasi Z Sufi (Legasi Z Sufi), Azahar Shahimi, berkata pihaknya menyedari sorghum bukan hanya memiliki potensi besar sebagai makanan pengganti kepada manusia, tetapi tanaman itu juga boleh diproses menjadi makanan haiwan.
Beliau berkata, sorghum terkenal di luar negara kerana ditanam secara meluas di negara Eropah, selain Indonesia yang menanam tumbuhan itu secara komersial.
“Sorghum sangat mudah ditanam di negara kita. Rugi jika kita tidak menggunakan kelebihan ini untuk menjadikannya satu tanaman utama yang boleh menyumbang besar kepada bekalan makanan yang signifikan untuk negara kita. Ini yang kita cuba terokai,” katanya.
Beliau ditemui BH di reruai syarikat Legasi Z Sufi sempena Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang di sini, hari ini.
Ketika ini, Legasi Z Sufi menerusi anak syarikatnya Legasi Z Agro memiliki ladang sorghum lebih dua hektar di Simpang Pelangai, Pahang dan menyasarkan untuk meningkatkan lagi keluasannya.
“Tanaman ini boleh dituai dalam masa 108 hari, maknanya dalam setahun, kita boleh buat sehingga empat kali tuaian.
“Selain mudah ditanam, penjagaannya juga hanya ditumpu pada 30 hari pertama kerana ia memerlukan sumber air. Selepas itu kita boleh biarkan sorghum hidup sendiri sampai boleh dituai,” katanya.
Dalam memperkukuhkan penyelidikan, pendidikan dan pengeluaran komersial dalam sektor pertanian negara khususnya membabitkan tanaman sorghum , Azahar berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama antaranya dengan pakar Fakulti Perladangan dan Agroteknologi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka.
Sementara itu, Dekan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi UiTM Melaka, Prof Dr Azhan Hashim, berkata sorghum boleh menjadi alternatif kepada bijirin sedia ada yang mengandungi banyak manfaat.
“Kita boleh membantu menjalankan penyelidikan berkaitan tanaman ini. Bijirin ini boleh menjadi alternatif kepada makanan seperti padi, gandum dan sebagainya.
“Kita lihat sorghum bernilai tinggi untuk perubatan terutama dari segi kandungan gula rendah. Jadi, pesakit diabetis sesuai mengambilnya.
“Menerusi penyelidikan yang kita rancang selepas ini, mungkin lebih banyak varieti diketahui dan kita tengok kesesuaiannya berdasarkan maklumat yang lebih tepat (mengenai sorghum),” katanya
